Tuesday, September 18, 2012

SUMBER BERITA HARIAN ONLINE 18 SEPTEMBER 2012


Penyertaan aktif masyarakat mampu melestarikan alam sekitar
18/09/2012 - 07:33:44 AM Oleh Dr Zaini Ujang

SESI bersama masyarakat adalah amalan dimulakan Datuk Seri Najib Razak sejak minggu pertama beliau menjadi Perdana Menteri untuk meninjau suasana sebenar kehidupan rakyat. Menerusi sesi itu masalah rakyat dapat diselesaikan segera.

Pada peringkat organisasi, ketua jabatan juga diminta melakukan sesi lawatan lebih kerap secara tidak berjadual dan tanpa protokol. Ada kalanya lawatan dibuat secara mengejut dan tidak dijangka. Selain meninjau perkembangan sesebuah organisasi, lawatan juga dapat mengeratkan hubungan dengan pekerja peringkat akar umbi dan penerima perkhidmatan.
Dalam konteks pengurusan alam sekitar, peranan masyarakat sangat kritikal. Pada asasnya masyarakat mesra alam terbabit secara langsung sebagai individu, kelompok atau institusi melaksanakan inisiatif memulihara alam sekitar. Setidak-tidaknya, tidak mencemar atau membuang sampah merata tempat! 

Masyarakat Malaysia secara amnya, semakin prihatin terhadap alam sekitar.
Kajian saya menunjukkan 20 peratus isu ditimbulkan media massa khusus dalam ruangan surat berkaitan alam sekitar. Masyarakat menyatakan masalah alam sekitar yang mereka hadapi, memberi cadangan mengatasinya, malah ada juga menuding jari menyalahkan sesuatu pihak.

Jika difahami, hal ini menunjukkan hasrat masyarakat berperanan aktif dalam menangani masalah alam sekitar dan jika hal ini difahami dan diterjemahkan dalam konteks proaktif, kita sebenarnya mempunyai ‘polis’ alam sekitar di kalangan rakyat Malaysia yang membantu agensi awam menguruskan alam sekitar secara lestari.

Dasar penyertaan masyarakat semakin mendapat perhatian di serata dunia dalam konteks mematangkan lagi sistem demokrasi. Mengikut model Arnstein, penyertaan masyarakat terbahagi lapan tahap. Tahap pertama ialah manipulasi di mana masyarakat disuapkan dengan maklumat yang ditapis dan terencana untuk mendapatkan persetujuan menerusi undi atau pendapat umum.
Tahap kedua ialah pendidikan alam sekitar berkaitan sebab musabab dan kesan risiko menerusi media dan pendidikan formal. Tahap ketiga ialah penjelasan sebenar secara saintifik, biarpun kadangkala ada kesan sampingan. Kesan penerangan ini sedikit sebanyak negatif dari segi pelancongan atau persepsi umum tetapi menandakan dasar proaktif dan telus. Selain itu, meningkatkan lagi keyakinan rakyat terhadap kesungguhan pihak berkuasa.

Tahap keempat ialah perundingan dengan masyarakat mengenai sesuatu isu berkaitan alam sekitar seperti sudah dilaksanakan di Malaysia dalam konteks Kajian Terperinci Kesan Alam Sekitar (DEIA). Tahap kelima ialah penyertaan langsung masyarakat dalam sesuatu inisiatif seperti penanaman pokok, guna semula barang terpakai dan penurunan tahap pelepasan karbon dalam industri.

Tahap keenam ialah perkongsian bijak dalam pembangunan, sesuai situasi, keunikan dan kepelbagaian faktor seperti eko-tourism dan pertanian organik. Tahap ketujuh ialah penurunan kuasa (empowerment) kepada industri, pertubuhan masyarakat dan individu berperanan sebaiknya dalam pembangunan mesra alam, misalnya dalam konteks teknologi hijau dan penjimatan tenaga.

Tahap kelapan ialah autonomi dengan memberi ruang sepenuhnya kepada siapa saja untuk berperanan asalnya terangkum dalam kerangka dasar alam sekitar.

Menerusi sesi lawatan akar umbi, tahap penyertaan masyarakat dapat dikenal pasti dan ditingkatkan. Rakyat berpeluang menunjukkan komitmen mereka, sekali gus menyatakan dasar serta tindakan perlu dilakukan pihak berkuasa.

Sesi itu dapat melihat sendiri kelemahan penyampaian perkhidmatan. Kelemahan itu bukan disebabkan dasar atau peruntukan kewangan tetapi komitmen masih rendah di kalangan pelaksana dasar atau pertindihan kuasa antara pelbagai agensi sehingga menyebabkan masalah kecil memudaratkan alam sekitar , misalnya kualiti air dalam longkang.

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Wednesday, September 12, 2012

INFO TEKNOLOGI HIJAU 2

PENJIMATAN ELEKTRIK

Penggunaan elektrik dapat dijimjatkan dengan menggunakan peralatan elektrik dengan mempraktikkan antara cara-cara berikut :

1.  Penggunaan lampu mentol (filemen) dikurangkan atau tidak digunakan langsung, gantikan dengan mentol jimat tenaga atau gunakan lampu kalimantang

2.  Selalu servis peralatan elektrik terutama pendingin hawa dan peti sejuk, peralatan yang baru atau telah diservis lebih kurang menggunakan tenaga elektrik

bersambung ..

Thursday, September 6, 2012

INFO TEKNOLOGI HIJAU HARI INI

PENGURANGAN PENGGUNAAN PLASTIK
untuk pembungkusan

KAEDAH 1 :
Semasa pergi ke pusat membeli belah, pasar, atau kedai runcit, pastikan anda membawa bakul/raga sendiri dan meminta barang terus dimasukkan ke dalam bakul tanpa beg pastik.

Kelebihan :
Anda tidak dicaj 20sen setiap beg plastik semasa kempen Tanpa Beg Plastik pada setiap hari Sabtu.

Kekangan :
Barangan berunsur plastik masih diperlukan untuk memasukan barangan dapur seperti bawang, ikan, tepung, dan sebagainya memang dibungkus dengan plastik untuk memudahkan penetapan harga.

KAEDAH 2 :
Kembali menggunakan karung kertas. Telah banyak penggunaan karung kertas kembali digunakan terutama di negara-negara maju.

Kelebihan :
Lebih mesra alam, boleh dikitar semula.

Kelemahan :
Pembuatan kertas memerlukan penebangan pokok baru.

Monday, September 3, 2012

TEKNOLOGI HIJAU DALAM PERTANIAN

Dapatkan maklumat lengkap berkaitan Teknologi Hijau dalam Pertanian menerusi link berikut : http://teknologihijau.com/2011/07/teknologi-hijau-dalam-pertanian/

Hendaknya ruangan tersebut dapat membantu melestarikan kita.

Sunday, September 2, 2012

TAHNIAH

SK BANDAR PUSAT telah terpilih menyertai penilaian Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar 2012 Peringkat Kebangsaan. Seluruh warga sekolah mengucapkan tahniah kepada semua jentera yang telah bertungkus lumus menjayakan projek-projek yang dirancang sama ada secara langsung ataupun tidak, kecil apatah lagi besar, wang ringgit, tenaga, masa mahupun idea.

Semoga penyertaan ini akan membuahkan kecemerlangan dan menaikkan nama SK Bandar Pusat sebagai sebuah sekolah yang sentiasa bersedia mencapai visi dan misi.

SEL SOLAR

Anda berminat untuk mempelajari dengan panel sel solar. Sel solar juga dikenali sebagai sel suria yang merupakan antara teknologi hijau yang ingin diketengahkan dalam artikel ini. Untuk maklumat lanjut sila klik link berikut http://www.rekacipta.net/2011/03/panduan-praktikal-sel-solar.html

Kepada sesiapa yang berminat untuk menyumbang set sel solar kepada program Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar SK Bandar Pusat boleh berhubung terus dengan pihak sekolah. Kami mengalu-alukan sumbangan anda.

Sunday, July 8, 2012

PENJAGAAN ALAM SEKITAR TANGGUNGJAWAB BERSAMA


Penjagaan Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama
oleh : SMAHADZIR
Sumber : http://syedmahadzirsyedibrahim.blogspot.com/2011/02/penjagaan-alam-sekitar-tanggungjawab_26.html

Masalah alam sekitar seperti pencemaran, penebangan hutan, pengurangan sumber bumi dan sebagainya telah lama mengakibatkan hilangnya keseimbangan kepada alam. Permasalahan ini sering menjadi perbincangan hangat setiap lapisan masyarakat dunia. Sesungguhnya krisis ini telah menjadi begitu parah sehingga setiap kerajaan di dunia berusaha mengambil tindakan bagi menanganinya.

Manusia telah diberikan akal fikiran oleh Allah SWT di mana ini meletakkan taraf manusia melebihi makhluk yang lain. Dengan akal fikiran itulah manusia membuat pertimbangan sebelum melakukan sesuatu tindakan. Selepas pertimbangan dibuat, barulah unsur nafsu digerakkan ke arah mencapai keinginan itu. Bagaimanapun, ada kalanya wujud ketidakharmonian antara unsur akal dan nafsu dalam jiwa manusia. Akibatnya, tindak-tanduk itu memberi kesan negatif kepada kesejahteraan hidup manusia sejagat. Maka, timbullah krisis seperti masalah pencemaran alam sekitar.

Alam sekitar juga anugerah Allah bagi memudahkan manusia hidup sebagai khalifah-Nya. Pada alam sekitar yang terbentang luas, tersedia sumber asli seperti hutan rimba menghijau yang mengimbangi ekosistem, lautan dalam yang menakung limpahan karbon untuk menyejukkan suhu bumi, sekali gus menjadi tempat membiaknya pelbagai hidupan akuatik. Di samping mengetahui manfaat alam sekitar, kewujudan dan konsep manusia perlu difahami setepatnya untuk kita lebih memahami konsep agama terhadap alam sekitar.

Hal ini penting kerana manusia adalah makhluk yang menjadi khalifah, mempunyai kedudukan khusus dan mulia dalam struktur alam ini. Hakikatnya, manusia antara komponen alam yang juga tergolong sebagai makhluk Allah. Manusia mempunyai peranan dan keistimewaan tersendiri berbanding komponen alam lain. Status manusia tinggi di sisi Allah jika diterasi dengan keimanan, melebihi kemuliaan malaikat. Manusia juga boleh menjadi lebih hina daripada haiwan jika jiwa dan fikirannya kosong iman.

Firman Allah SWT bermaksud: ‘Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) seperti Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan.’ (surah al-Qasas, ayat 77)

Tidak salah untuk melaksanakan proses pembangunan. Bagaimanapun, ia perlu dilakukan dalam bentuk terkawal agar agenda pembangunan yang dijalankan lebih banyak memberi manfaat bukannya keburukan kepada manusia dan alam sekitarnya. Etika berkaitan penjagaan alam sekitar ada digariskan dalam Islam. Contohnya, ketika peperangan, Nabi Muhammad SAW melarang umatnya memotong pokok atau membakar tanaman kecuali keadaan benar-benar memaksa supaya berbuat demikian. Malangnya, kemusnahan alam sekitar di beberapa kawasan di negara kita, adalah akibat kerakusan nafsu manusia.

Jika merosakkan alam sekitar, tentu sistem ekologi juga akan terjejas. Ia bukan saja akan menyebabkan kehilangan spesies alam dan fauna yang amat berharga, malah haiwan liar serta unggas turut diancam kepupusan. Di samping kesan ke atas ekologi, pembangunan yang tidak terkawal boleh memberi kesan terhadap topografi sesuatu tempat. Ramai antara kita tidak sedar bahawa kegiatan pembersihan hutan dan meratakan bukit, mengancam aliran sungai dan jalan raya, malah struktur bangunan di sesebuah kawasan. Bukit-bukau yang menjadi pasak kepada bumi seperti yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah an-Naba’, ayat 7 tidak lagi berperanan untuk menstabilkan persekitarannya akibat proses meratakan kawasan.

Punca utama masalah ini adalah sifat rakus manusia yang mementingkan keuntungan wang ringgit. Mereka mengambil kesempatan atas platform yang didakwa sebagai pembangunan. Hal ini seperti firman Allah SWT bermaksud: ‘Telah nampak kerosakan di darat dan laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).’ (surah ar-Rum, ayat 41)

Dalam Islam, aspek akhlak meliputi semua perkara. Kita bukan saja disuruh berakhlak kepada Allah atau manusia, malah menjaga akhlak kepada haiwan, alam sekitar dan sebagainya. Contohnya, setiap haiwan itu ada hak yang perlu kita tunaikan, lebih-lebih lagi haiwan peliharaan. Begitu juga dengan alam sekitar. Kita tidak boleh rakus dalam usaha pembangunan, yang akhirnya bukan saja memusnahkan ekologi yang menjadi habitat kepada mahkluk lain, malah memudaratkan manusia.

Sebenarnya, segala hal yang berkaitan dengan pemuliharaan alam sekitar dan pelestariannya sangat berkait rapat dengan ilmu-ilmu Islam yang dasar. Ilmu-ilmu Islam dasar tersebut ialah kefahaman dan pendidikan alam sekitar serta kaitannya dengan ilmu usuluddin, etika, fikh, usul fikh (maqasid syariah) dan ilmu Al-Quran dan sunah. Ilmu usuluddin (ilmu tauhid) mempunyai hubungan yang erat dengan hal-hal yang berkaitan pemuliharaan alam sekitar serta semua elemen yang berada dalamnya, sama ada makhluk yang hidup atau mati, berakal atau sebaliknya.

Untuk membangunkan peradaban di muka bumi, ia telah dinyatakan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran, bermaksud: ‘Dia menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan pemakmurnya.’ (surah Hud: 61). Pengertian yang dapat difahami sebagai pemakmurnya di sini ialah manusia sebagai makhluk yang membangunkan bumi menerusi usaha-usaha seperti aktiviti pertanian, perindustrian, memperbaiki taraf hidup serta menghindarkan diri dan bumi daripada perkara-perkara yang boleh merosakkannya. Ilmu etika atau akhlak (tasawuf) adalah satu bidang ilmu yang sangat berkait rapat dengan alam sekitar.

Melakukan kebaikan terhadap alam sekitar yang menjadi elemen utama alam ini adalah sebahagian daripada tuntutan untuk menjadi hamba yang bertakwa dan diredhai Allah. Terdapat pelbagai perintah Allah supaya manusia memberi perhatian dan berbuat baik kepada alam sekitar berserta dengan seluruh unsur yang dikandungnya iaitu berbuat baik kepada sesama manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, air, udara dan tanah. Berbeza dengan barat yang menganggap bahawa antara punca menyebabkan berlakunya kemerosotan dan kerosakan alam sekitar ialah bertambahnya jumlah penduduk dunia dan permintaan terhadap sumber alam semakin meningkat, maka Al-Quran menyatakan bahawa nikmat Allah itu tidak dapat dihitung, sumber-sumber alam itu adalah sangat banyak dan subur.

Sebagai manusia yang berakal, kita perlu memahami bahawa segala usaha untuk memelihara atau membaik-pulih alam sekitar adalah sama halnya dengan usaha menjaga agama. Ini adalah kerana segala kemungkaran dan dosa mencemari dan memusnahkan alam sekitar sebenarnya mengganggu intipati hidup beragama kerana secara tidak langsung menodai kewujudan manusia di muka bumi ini. Perbuatan merosakkan alam sekitar adalah sama seperti menafikan sikap adil dan ehsan, sedangkan kedua-dua sikap ini merupakan perintah Allah yang perlu dilaksanakan.

Kita harus sedar dan insaf bahawa kepentingan alam sekitar menjangkaui keperluan estetika dan kebersihan fizikal semata-mata. Hakikatnya, keseimbangan alam sekitar memberi kesan ketara kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup ke arah kemajuan negara. Tanpa hutan, maka tadahan hujan untuk bekalan air akan kurang dan tanpa udara yang bebas bahan cemar, kesihatan awam terganggu.

Jika kembali kepada ajaran pelbagai agama dan falsafah hidup, kita menemui asas kukuh peranan alam sekitar sebagai antara unsur terpenting dari segi ketuhanan dan kosmologi. Dalam apa juga agama, alam sekitar ditanggapi secara kudus dan tertib.

Perbuatan mencemar dan merosakkan alam sekitar juga menodai fungsi kekhalifahan yang telah dibebankan kepada manusia. Ini kerana bumi bukan milik manusia untuk dia berbuat sesuka hati tetapi bumi ini adalah milik Allah yang dipinjamkan kepada manusia yang kemudiannya dituntut untuk menjalankan segala perintah Allah di atasnya.

Kita harus insaf kerana kini pelbagai kerosakan telah melanda darat, pencemaran udara dan lautan. Ia adalah hasil daripada sikap dan tindak-tanduk kita sendiri yang cuai, pentingkan diri sendiri, rakus, tidak bertanggungjawab serta tidak bertimbangrasa terhadap alam sekitar. Kecuaian seperti ini amat bertentangan dengan kehendak apa juga agama, lebih-lebih lagi agama Islam. Islam sebagai cara hidup, menerangkan hakikat bahawa tiada pengasingan antara manusia, alam sekitar dan Allah.

Perkara ini telah diterangkan Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud: ‘Kepunyaan Allah SWT jualah apa-apa yang di langit dan di bumi, dan pengetahuan Allah maha meliputi segala sesuatu.’ (surah an-Nisa, ayat 126)

Rasulullah SAW juga bersabda, yang bermaksud: ‘Dunia ini hijau dan cantik, dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan.’ (Hadis riwayat Muslim)

Ayat-ayat di atas jelas menunjukkan konsep yang harus dimiliki oleh umat manusia terhadap alam sekitar. Antaranya adalah peranan manusia sebagai khalifah atau wakil Allah di bumi. Ia adalah prinsip asas ajaran Islam. Manusia tidak sebebasnya memiliki semua khazanah di muka ini. Alam sekitar sekadar amanah Allah SWT kepada manusia dan kita berkewajiban mengurusnya dengan baik. Melakukan kerosakan dan kebinasaan kepada alam ini adalah tanda pengkhianatan terhadap amanah tersebut.

Alam sekitar turut berperanan sebagai kesatuan benda yang membuktikan kekuasaan Yang Maha Pencipta dan pembangkit kesedaran terhadap rasa dan jiwa ketuhanan. Dalam pengertiannya yang lebih utilitarian, alam sekitar juga petunjuk bagi memudahkan manusia menempuh ranjau kehidupan. Bintang, bulan dan matahari, misalnya, menjadi penunjuk arah dan waktu untuk mengingatkan manusia fitrah kewujudannya di dunia ini.

Alam sekitar juga buku ilmu pengetahuan yang sangat bermanfaat. Menerusi pengetahuan dan kajian mengenai alam sekitar, kita mengetahui dan memanfaatkan ilmu zoologi, botani, mikrobiologi, bioteknologi, fizik, kimia, geologi, geografi, kosmologi dan hidrologi. Dengan menekuni dan mendalami bidang ilmu berkaitan alam sekitar, jiwa dan fikiran manusia lebih dekat dan mesra kepada Yang Maha Pencipta. Inilah objektif dan gagasan sains dari perspektif Islam seperti yang dikemukakan ramai sarjana Islam.

Ingatlah, Allah SWT mencipta alam ini dengan segala keindahan dan kenikmatannya demi kebaikan dan faedah kepada manusia itu sendiri. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab manusia untuk sentiasa memelihara kelestarian alam sekitar, supaya ia dapat dimanfaatkan secara berterusan. Bahkan dalam ungkapan orang tua-tua Melayu turut dikatakan: ‘Kalau hidup hendak selamat, peliharalah laut beserta selat, peliharalah tanah berhutan lebat, di situ terkandung rezeki dan rahmat, di situ terkandung tamsil ibarat, di situ terkandung aneka nikmat, di situ terkandung beragam manfaat, di situ terkandung petua adat.’

Sebab itu juga dikatakan, ‘adat hidup memegang adat’: ‘beramu tidak merosak kayu, berotan tidak merosak hutan, bergetah tidak merosak rimba, berumah tidak merosak tanah, berkebun tidak merosak dusun, berkampung tidak merosak gunung, berladang tidak merosak padang.

Kesimpulannya, menjaga alam sekitar ini bukanlah menjadi tugas individu atau kerajaan semata tetapi menjadi tanggungjawab kita semua secara bersama. Semua makhluk yang bernama manusia, tidak kira apa bangsa dan agama harus bertanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar agar dapat merealisasikan dunia ini menjadi sebuah taman kehidupan yang indah, aman, sejahtera, harmoni dan terhindar dari sebarang bencana yang boleh menghancurkan spesies kehidupan bernyawa di atasnya.

Sumber : http://syedmahadzirsyedibrahim.blogspot.com/2011/02/penjagaan-alam-sekitar-tanggungjawab_26.html