SK BANDAR PUSAT SEKOLAH PENANDAARASAAN SEKOLAH LESTARI ALAM SEKITAR 2014 NEGERI PAHANG
Sunday, July 8, 2012
PENJAGAAN ALAM SEKITAR TANGGUNGJAWAB BERSAMA
Penjagaan Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama
oleh : SMAHADZIR
Sumber : http://syedmahadzirsyedibrahim.blogspot.com/2011/02/penjagaan-alam-sekitar-tanggungjawab_26.html
Masalah alam sekitar seperti pencemaran, penebangan hutan, pengurangan sumber bumi dan sebagainya telah lama mengakibatkan hilangnya keseimbangan kepada alam. Permasalahan ini sering menjadi perbincangan hangat setiap lapisan masyarakat dunia. Sesungguhnya krisis ini telah menjadi begitu parah sehingga setiap kerajaan di dunia berusaha mengambil tindakan bagi menanganinya.
Manusia telah diberikan akal fikiran oleh Allah SWT di mana ini meletakkan taraf manusia melebihi makhluk yang lain. Dengan akal fikiran itulah manusia membuat pertimbangan sebelum melakukan sesuatu tindakan. Selepas pertimbangan dibuat, barulah unsur nafsu digerakkan ke arah mencapai keinginan itu. Bagaimanapun, ada kalanya wujud ketidakharmonian antara unsur akal dan nafsu dalam jiwa manusia. Akibatnya, tindak-tanduk itu memberi kesan negatif kepada kesejahteraan hidup manusia sejagat. Maka, timbullah krisis seperti masalah pencemaran alam sekitar.
Alam sekitar juga anugerah Allah bagi memudahkan manusia hidup sebagai khalifah-Nya. Pada alam sekitar yang terbentang luas, tersedia sumber asli seperti hutan rimba menghijau yang mengimbangi ekosistem, lautan dalam yang menakung limpahan karbon untuk menyejukkan suhu bumi, sekali gus menjadi tempat membiaknya pelbagai hidupan akuatik. Di samping mengetahui manfaat alam sekitar, kewujudan dan konsep manusia perlu difahami setepatnya untuk kita lebih memahami konsep agama terhadap alam sekitar.
Hal ini penting kerana manusia adalah makhluk yang menjadi khalifah, mempunyai kedudukan khusus dan mulia dalam struktur alam ini. Hakikatnya, manusia antara komponen alam yang juga tergolong sebagai makhluk Allah. Manusia mempunyai peranan dan keistimewaan tersendiri berbanding komponen alam lain. Status manusia tinggi di sisi Allah jika diterasi dengan keimanan, melebihi kemuliaan malaikat. Manusia juga boleh menjadi lebih hina daripada haiwan jika jiwa dan fikirannya kosong iman.
Firman Allah SWT bermaksud: ‘Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) seperti Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan.’ (surah al-Qasas, ayat 77)
Tidak salah untuk melaksanakan proses pembangunan. Bagaimanapun, ia perlu dilakukan dalam bentuk terkawal agar agenda pembangunan yang dijalankan lebih banyak memberi manfaat bukannya keburukan kepada manusia dan alam sekitarnya. Etika berkaitan penjagaan alam sekitar ada digariskan dalam Islam. Contohnya, ketika peperangan, Nabi Muhammad SAW melarang umatnya memotong pokok atau membakar tanaman kecuali keadaan benar-benar memaksa supaya berbuat demikian. Malangnya, kemusnahan alam sekitar di beberapa kawasan di negara kita, adalah akibat kerakusan nafsu manusia.
Jika merosakkan alam sekitar, tentu sistem ekologi juga akan terjejas. Ia bukan saja akan menyebabkan kehilangan spesies alam dan fauna yang amat berharga, malah haiwan liar serta unggas turut diancam kepupusan. Di samping kesan ke atas ekologi, pembangunan yang tidak terkawal boleh memberi kesan terhadap topografi sesuatu tempat. Ramai antara kita tidak sedar bahawa kegiatan pembersihan hutan dan meratakan bukit, mengancam aliran sungai dan jalan raya, malah struktur bangunan di sesebuah kawasan. Bukit-bukau yang menjadi pasak kepada bumi seperti yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah an-Naba’, ayat 7 tidak lagi berperanan untuk menstabilkan persekitarannya akibat proses meratakan kawasan.
Punca utama masalah ini adalah sifat rakus manusia yang mementingkan keuntungan wang ringgit. Mereka mengambil kesempatan atas platform yang didakwa sebagai pembangunan. Hal ini seperti firman Allah SWT bermaksud: ‘Telah nampak kerosakan di darat dan laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).’ (surah ar-Rum, ayat 41)
Dalam Islam, aspek akhlak meliputi semua perkara. Kita bukan saja disuruh berakhlak kepada Allah atau manusia, malah menjaga akhlak kepada haiwan, alam sekitar dan sebagainya. Contohnya, setiap haiwan itu ada hak yang perlu kita tunaikan, lebih-lebih lagi haiwan peliharaan. Begitu juga dengan alam sekitar. Kita tidak boleh rakus dalam usaha pembangunan, yang akhirnya bukan saja memusnahkan ekologi yang menjadi habitat kepada mahkluk lain, malah memudaratkan manusia.
Sebenarnya, segala hal yang berkaitan dengan pemuliharaan alam sekitar dan pelestariannya sangat berkait rapat dengan ilmu-ilmu Islam yang dasar. Ilmu-ilmu Islam dasar tersebut ialah kefahaman dan pendidikan alam sekitar serta kaitannya dengan ilmu usuluddin, etika, fikh, usul fikh (maqasid syariah) dan ilmu Al-Quran dan sunah. Ilmu usuluddin (ilmu tauhid) mempunyai hubungan yang erat dengan hal-hal yang berkaitan pemuliharaan alam sekitar serta semua elemen yang berada dalamnya, sama ada makhluk yang hidup atau mati, berakal atau sebaliknya.
Untuk membangunkan peradaban di muka bumi, ia telah dinyatakan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran, bermaksud: ‘Dia menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan pemakmurnya.’ (surah Hud: 61). Pengertian yang dapat difahami sebagai pemakmurnya di sini ialah manusia sebagai makhluk yang membangunkan bumi menerusi usaha-usaha seperti aktiviti pertanian, perindustrian, memperbaiki taraf hidup serta menghindarkan diri dan bumi daripada perkara-perkara yang boleh merosakkannya. Ilmu etika atau akhlak (tasawuf) adalah satu bidang ilmu yang sangat berkait rapat dengan alam sekitar.
Melakukan kebaikan terhadap alam sekitar yang menjadi elemen utama alam ini adalah sebahagian daripada tuntutan untuk menjadi hamba yang bertakwa dan diredhai Allah. Terdapat pelbagai perintah Allah supaya manusia memberi perhatian dan berbuat baik kepada alam sekitar berserta dengan seluruh unsur yang dikandungnya iaitu berbuat baik kepada sesama manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, air, udara dan tanah. Berbeza dengan barat yang menganggap bahawa antara punca menyebabkan berlakunya kemerosotan dan kerosakan alam sekitar ialah bertambahnya jumlah penduduk dunia dan permintaan terhadap sumber alam semakin meningkat, maka Al-Quran menyatakan bahawa nikmat Allah itu tidak dapat dihitung, sumber-sumber alam itu adalah sangat banyak dan subur.
Sebagai manusia yang berakal, kita perlu memahami bahawa segala usaha untuk memelihara atau membaik-pulih alam sekitar adalah sama halnya dengan usaha menjaga agama. Ini adalah kerana segala kemungkaran dan dosa mencemari dan memusnahkan alam sekitar sebenarnya mengganggu intipati hidup beragama kerana secara tidak langsung menodai kewujudan manusia di muka bumi ini. Perbuatan merosakkan alam sekitar adalah sama seperti menafikan sikap adil dan ehsan, sedangkan kedua-dua sikap ini merupakan perintah Allah yang perlu dilaksanakan.
Kita harus sedar dan insaf bahawa kepentingan alam sekitar menjangkaui keperluan estetika dan kebersihan fizikal semata-mata. Hakikatnya, keseimbangan alam sekitar memberi kesan ketara kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup ke arah kemajuan negara. Tanpa hutan, maka tadahan hujan untuk bekalan air akan kurang dan tanpa udara yang bebas bahan cemar, kesihatan awam terganggu.
Jika kembali kepada ajaran pelbagai agama dan falsafah hidup, kita menemui asas kukuh peranan alam sekitar sebagai antara unsur terpenting dari segi ketuhanan dan kosmologi. Dalam apa juga agama, alam sekitar ditanggapi secara kudus dan tertib.
Perbuatan mencemar dan merosakkan alam sekitar juga menodai fungsi kekhalifahan yang telah dibebankan kepada manusia. Ini kerana bumi bukan milik manusia untuk dia berbuat sesuka hati tetapi bumi ini adalah milik Allah yang dipinjamkan kepada manusia yang kemudiannya dituntut untuk menjalankan segala perintah Allah di atasnya.
Kita harus insaf kerana kini pelbagai kerosakan telah melanda darat, pencemaran udara dan lautan. Ia adalah hasil daripada sikap dan tindak-tanduk kita sendiri yang cuai, pentingkan diri sendiri, rakus, tidak bertanggungjawab serta tidak bertimbangrasa terhadap alam sekitar. Kecuaian seperti ini amat bertentangan dengan kehendak apa juga agama, lebih-lebih lagi agama Islam. Islam sebagai cara hidup, menerangkan hakikat bahawa tiada pengasingan antara manusia, alam sekitar dan Allah.
Perkara ini telah diterangkan Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud: ‘Kepunyaan Allah SWT jualah apa-apa yang di langit dan di bumi, dan pengetahuan Allah maha meliputi segala sesuatu.’ (surah an-Nisa, ayat 126)
Rasulullah SAW juga bersabda, yang bermaksud: ‘Dunia ini hijau dan cantik, dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan.’ (Hadis riwayat Muslim)
Ayat-ayat di atas jelas menunjukkan konsep yang harus dimiliki oleh umat manusia terhadap alam sekitar. Antaranya adalah peranan manusia sebagai khalifah atau wakil Allah di bumi. Ia adalah prinsip asas ajaran Islam. Manusia tidak sebebasnya memiliki semua khazanah di muka ini. Alam sekitar sekadar amanah Allah SWT kepada manusia dan kita berkewajiban mengurusnya dengan baik. Melakukan kerosakan dan kebinasaan kepada alam ini adalah tanda pengkhianatan terhadap amanah tersebut.
Alam sekitar turut berperanan sebagai kesatuan benda yang membuktikan kekuasaan Yang Maha Pencipta dan pembangkit kesedaran terhadap rasa dan jiwa ketuhanan. Dalam pengertiannya yang lebih utilitarian, alam sekitar juga petunjuk bagi memudahkan manusia menempuh ranjau kehidupan. Bintang, bulan dan matahari, misalnya, menjadi penunjuk arah dan waktu untuk mengingatkan manusia fitrah kewujudannya di dunia ini.
Alam sekitar juga buku ilmu pengetahuan yang sangat bermanfaat. Menerusi pengetahuan dan kajian mengenai alam sekitar, kita mengetahui dan memanfaatkan ilmu zoologi, botani, mikrobiologi, bioteknologi, fizik, kimia, geologi, geografi, kosmologi dan hidrologi. Dengan menekuni dan mendalami bidang ilmu berkaitan alam sekitar, jiwa dan fikiran manusia lebih dekat dan mesra kepada Yang Maha Pencipta. Inilah objektif dan gagasan sains dari perspektif Islam seperti yang dikemukakan ramai sarjana Islam.
Ingatlah, Allah SWT mencipta alam ini dengan segala keindahan dan kenikmatannya demi kebaikan dan faedah kepada manusia itu sendiri. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab manusia untuk sentiasa memelihara kelestarian alam sekitar, supaya ia dapat dimanfaatkan secara berterusan. Bahkan dalam ungkapan orang tua-tua Melayu turut dikatakan: ‘Kalau hidup hendak selamat, peliharalah laut beserta selat, peliharalah tanah berhutan lebat, di situ terkandung rezeki dan rahmat, di situ terkandung tamsil ibarat, di situ terkandung aneka nikmat, di situ terkandung beragam manfaat, di situ terkandung petua adat.’
Sebab itu juga dikatakan, ‘adat hidup memegang adat’: ‘beramu tidak merosak kayu, berotan tidak merosak hutan, bergetah tidak merosak rimba, berumah tidak merosak tanah, berkebun tidak merosak dusun, berkampung tidak merosak gunung, berladang tidak merosak padang.
Kesimpulannya, menjaga alam sekitar ini bukanlah menjadi tugas individu atau kerajaan semata tetapi menjadi tanggungjawab kita semua secara bersama. Semua makhluk yang bernama manusia, tidak kira apa bangsa dan agama harus bertanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar agar dapat merealisasikan dunia ini menjadi sebuah taman kehidupan yang indah, aman, sejahtera, harmoni dan terhindar dari sebarang bencana yang boleh menghancurkan spesies kehidupan bernyawa di atasnya.
Sumber : http://syedmahadzirsyedibrahim.blogspot.com/2011/02/penjagaan-alam-sekitar-tanggungjawab_26.html
Subscribe to:
Posts (Atom)